Thursday, October 8, 2009

Kelantan Sedia Haramkan Purdah - MB

Kerajaan Kelantan sedia mengharamkan pemakaian purdah di negeri ini, jika didapati boleh menjadi ancaman terhadap keselamatan rakyat, kata Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sambil bersetuju dengan Syeikh Al-Azhar, Mohammed Sayyed Tantawi yang merancang melarang pelajar wanita memakai purdah dari memasuki institusi pendidikan itu, Nik Abdul Aziz berkata, pemakaian purdah kini sering disalah guna pihak tertentu untuk mengancam keselamatan.

"Saya sudah sebut lama, Islam hanya minta perempuan tutup aurat, bagi saya tak pernah disebut tutup muka, menutup aurat itu macam pakaian ketika nak sembahyang iaitu pakai telekung.

"Saya tak kata haram tutup muka (pemakaian purdah), tetapi dalam keadaan sekarang ini sabotaj banyak, orang lelaki pakai purdah hingga polis tak kenal dia lelaki atau perempuan di negeri yang banyak letupan bom.

"Kalau kena Kelantan pun saya kata haram pakai purdah, tak tahu lelaki ke perempuan," katanya semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar yang menyebut, Syeikh Al-Azhar, Mohammed Sayyed Tantawi, merancang mengharamkan pelajar perempuan yang memakai purdah daripada memasuki institusi pendidikan di bawah Universiti al-Azhar.

Laporan itu menyebut, seorang pegawai keselamatan berkata, polis menerima arahan secara lisan supaya menghalang pelajar perempuan yang berkelubung dari memasuki institusi di bawah al-Azhar termasuk sekolah menengah dan tinggi, serta asrama beberapa universiti di Kaherah.

Pegawai itu berkata, pengharaman itu adalah atas sebab keselamatan. Kebanyakan ulama berpendapat, purdah tidak wajib tetapi hanya adat resam diamalkan masyarakat Arab Badwi sebelum kedatangan Islam.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau bersetuju dengan cadangan Mohammed Sayyed kerana kebelakangan ini banyak cubaan pihak tidak bertanggungjawab melakukan sesuatu perkara dengan berselindung di sebalik pemakaian purdah.

"Saya setuju (dengan Mohammed Sayyed) kerana keselamatan, terserahlah kepada pemakai itu pula, yang Islam nak tutup aurat, iaitu bagi perempuan muka dan tangan boleh buka," katanya.

Mengulas mengenai kes jenayah dan masalah sosial yang semakin meningkat di Kelantan, beliau berkata, ia antara lain disebabkan kesan negatif televisyen yang tidak menerapkan nilai murni dalam rancangan yang disiarkan selain lambakan cakera padat video (VCD) lucah.

"Kita bagi ajaran agama, jenayah ini golongan muda, merompak sana-sini, sembahyang pun tidak puak-puak ini, air muka keruh tak kena air sembahyang, puak inilah yang menyusahkan polis dan orang kampung.

"Televisyen asyik siar cerita hantu, samun... televi-syen ini bukan kerja kerajaan negeri, sebaliknya kerja (usaha) Kerajaan Pusat, kesungguhan untuk jalankan kerja kerohanian dan nilai murni tak ada. VCD lucah ini, merata kampung... dukacita sungguhlah," katanya.

source : http://www.malaysia-instinct.com

2 comments:

kijang said...

come blog boh...
mamat

LIVESTRONG said...

AsSalam,
xnapok la nok baco.gelap gelita jah,xpase lampu ka?